Bahaya hidangan separuh masak


Foto
 AYAM MASAK merah memang enak tetapi pastikan disediakan dengan kaedah betul dan selamat dimakan.

Beberapa minggu lalu, kita digemparkan dengan berita kematian empat individu akibat keracunan makanan disebabkan bakteria Salmonella yang terkandung dalam ayam masak merah.
Berita itu sekali gus mendapat perhatian masyarakat apabila bakteria Salmonella itu disahkan terkandung dalam ayam yang tidak disimpan dengan baik dan dibiar pada suhu bilik semalaman, sebelum dimasak pada hari kenduri.
Memetik kata Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat menjelaskan, ayam berkenaan tercemar dan mangsa yang makan makanan tercemar itu tidak mengalami simptom keracunan pada kadar segera sebaliknya bakteria Salmonella hanya meragam selepas lebih 12 jam sebelum menjadi keracunan, menyebabkan mangsa mengalami cirit-birit, loya, muntah, perut memulas dan kehilangan air dalam badan secara teruk.

Perunding Gastroenterologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Wendy Lim Wan Dee berkata, bakteria Salmonella bukan hanya terdapat pada haiwan saja malah buah-buahan, sayuran, daging, telur selain produk tenusu.
Foto 
ANTARA tanda-tanda jangkitan Salmonella ialah demam dan cirit-birit.

“Salmonella adalah sejenis kuman yang boleh hidup dalam keadaan persekitaran dengan oksigen atau tanpa oksigen. Ia ada di seluruh dunia dan hidup dalam haiwan termasuk manusia.

“Terdapat beberapa jenis bakteria Salmonella. Selain jangkitan biasa, ia juga boleh menyebabkan demam kepialu jika jenis kuman berkenaan ialah Salmonella Typhi,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu baru-baru ini.

Bakteria Salmonella ditemui seorang genius Pakar Patologi Veterinar Amerika Syarikat, Daniel Elmer Salmon. Walaupun Theobald Smith adalah individu sebenar yang menemui bakteria itu jenis (Salmonella Enterica Var Choleraesuis ) pada 1885, Dr Salmon adalah pentadbir program penyelidikan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), dan kerana itu bakteria dinamakan sempena nama beliau oleh Smith.

Mengikut panduan asas penyimpanan makanan Kawalan Mutu Makanan Kementerian Kesihatan, orang ramai digalakkan menyimpan ikan atau daging mentah dalam ruang bekas ikan atau daging pada suhu dua darjah Celsius atau kurang.

Ini kerana ikan dan daging mengandungi kandungan protein dan kelembapan tinggi dan mudah dicemar bakteria. Disarankan ikan dan daging disimpan dalam bekas plastik yang kedap udara bagi mengelakkan kekeringan dan bau ikan pada makanan lain.

Menurutnya, Salmonella boleh menjangkiti manusia apabila individu memakan haiwan yang tercemar dengan kuman ini. Selain itu ia juga boleh merebak kepada haiwan ke haiwan yang lain.

“Lazimnya masakan yang dimasak mentah ataupun tidak dimasak sempurna menyebabkan kuman itu membiak dengan cepat seterusnya boleh mendatangkan bahaya jika dimakan dalam kuantiti yang banyak.

“Antaranya demam, cirit-birit, sakit perut, muntah, loya dan sakit kepala. Jika pesakit mengalami keadaan lebih teruk, segera bawa berjumpa doktor,” katanya.

Dr Wendy turut memberitahu, keadaan akan lebih teruk jika bakteria itu sudah merebak ke bahagian organ dalaman seperti hati, paru-paru, buah pinggang dan lain-lain.

“Komplikasi biasanya berlaku apabila terlalu banyak rembesan toksin dikeluarkan di dalam usus. Toksin ini menyerap ke dalam saluran darah dan dibawa ke anggota badan seterusnya merosakkan organ berkenaan,” katanya.

Selain itu, kuman yang berada dalam darah akan menyebabkan berlakunya sepsis seterusnya mengakibatkan tekanan darah terlalu rendah dan menyebabkan berlaku kematian.

“Bakteria ini mengambil masa enam hingga 72 jam untuk memasuki sistem penghadaman manusia. Biasanya bermula dengan muntah, cirit-birit, sakit perut dan ada kala demam panas.

“Bagi mengelakkan kejadian ini orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terutama dalam memilih produk makanan selain menjaga kebersihan. Elakkan memakan makanan yang mentah.

“Jika makanan yang dihidangkan kelihatan kurang masak, rasanya masam atau berlainan, buang makanan itu kerana berkemungkinan mengandungi kuman Salmonella. Pesakit yang menghidap cirit-birit, hendaklah selalu membasuh tangan dan menjaga kebersihan diri supaya tidak menjangkiti individu lain,” katanya.

Jelasnya lagi, semua individu berisiko dijangkiti Salmonella. Semakin berumur seseorang itu semakin tinggi risiko dijangkiti bakteria ini disebabkan sistem imunisasi yang rendah.

“Individu pada usia ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam memilih makanan. Selain warga tua, kanak-kanak juga antara yang berisiko disebabkan sistem ketahanan mereka juga rendah.

“Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih peka terhadap makanan atau barang mentah yang dibeli bagi mengelak gejala Salmonella. Paling utama, aspek kebersihan yang perlu dititikberatkan,” katanya.


Keracunan makanan oleh bakteria Salmonella

Agen penyebab

Usus manusia dan haiwan (terutama usus ayam).
Haiwan perosak (tikus, lipas dan lalat).
Haiwan liar.



Makanan yang biasa dikaitkan dengan bakteria ini
Daging unggas dan yang berasaskan unggas.
Telur dan hasil telur.
Susu dan hasil tenusu
Hasil tenusu (keju, krim, kastard).



Cara merebak
Makanan tercemar sama ada sewaktu penyimpanan atau ketika penyediaan.
Pengendali makanan yang dicemari oleh haiwan (tangan ke mulut).



Tanda-tanda
Demam.
Cirit-birit.
Sakit perut.
Muntah.
Loya.
Sakit kepala.



Tempoh jangkitan
Antara enam jam ke 72 jam (biasa 12 - 36 jam).



Cara pencegahan

Masak daging, unggas dan telur dengan sempurna.

Elakkan memakan daging atau stik yang mentah atau separuh masak.

Gunakan peralatan yang berbeza (pisau, papan pemotong) untuk daging mentah dan yang telah dimasak.

Simpan makanan mentah dan yang telah dimasak dalam bekas berbeza.

 





Post a Comment

2 Comments

  1. zara mmg xsuka mkn mknn 1/2 masak ni.. bru maklum pasal ni, ketinggalan info kesihatan zara ni.. Btw, thnks ntuk mklumat ni ! ^^

    ReplyDelete

Ini adalah blog peribadi.Sebarang pendapat yang saya luahkan di sini adalah dari saya sendiri ,tidak melibatkan mana mana pihak kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya.Sebarang PRINT SCREEN terhadap blog ini adalah dilarang kecuali atas keizinan tuan punya blog. Tuan punya blog tidak teragak agak mengambil tindakan undang undang jika hak persendirian ini dicabuli.Terima Kasih juga kerana sudi tinggalkan komen di entri ini. Sila berikan komen yang berhemah. Sebagai penulis saya tidak bertanggungjawab terhadap setiap komen yang ditulis. Sebarang LINK AKTIF akan di buang secara automatik. Harap maklum.
Terima Kasih ..