KUALA PILAH – Ibu mana yang tidak gembira apabila mendapat tahu bayi pertama yang dikandungnya adalah kembar.
Persiapan sudah dilakukan, bahkan barang keperluan termasuk baju
baharu untuk menyambut kelahiran pasangan bayi berkenaan sudah
dilakukan.
Namun, kegembiraan seorang ibu muda di sini bertukar menjadi saat
menyedihkan apabila seorang daripada bayinya meninggal dunia selepas
dilahirkan, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia sebelum
sempat dilahirkan.
Semuanya dikatakan berpunca daripada perkhidmatan sebuah hospital di
daerah ini yang didakwa tidak cekap sehingga mengakibatkan Sharifah
Kalsum Syed Abu Bakar, 22, lewat menerima rawatan, sebelum terpaksa
menjalani pembedahan secara tergesa-gesa.
Sharifah Kalsum berkata, kejadian bermula kira-kira 2.30 petang 14
Januari lalu apabila dia ke hospital itu selepas terasa sakit hendak
bersalin.
“Saya rasa sakit di pinggang dan berlaku kontraksi. Waktu di bilik bersalin, tiada doktor pakar, hanya doktor pelatih sahaja.
“Saya merayu kepada jururawat supaya percepatkan proses kelahiran,
tapi doktor memberitahu, pembukaan di pangkal rahim saya ketika itu
hanya dua sentimeter menyebabkan saya dimasukkan ke wad biasa,” katanya
yang kemudian diberikan ubat tahan sakit sebelum terlena.
Menurutnya, keesokan harinya, dia sekali lagi memanggil jururawat kerana berasa seperti mahu bersalin.
“Saya sudah tidak bermaya untuk menahan sakit, tetapi jururawat
menjawab dengan kurang sopan, malah seolah-olah memerli saya,” katanya.
Sharifah Kalsum berkata, antara jam 6.30 dan 7 petang pada 16
Januari, dia dikejutkan jururawat bertugas untuk melakukan pemeriksaan
cardiotopograph atau CTG untuk mengesan kadar degupan jantung bayi.
“Ketika itu, saya mendengar degupan jantung sebelah kanan, manakala
sebelah kiri tiada apa-apa reaksi atau bunyi degupan jantung.
“Jururawat itu tidak maklumkan apa-apa sehingga jam 7.30 pagi,
seorang doktor memeriksa saya. Ketika doktor periksa sekali lagi
kira-kira 15 minit kemudian, degupan jantung bayi kiri sudah tiada
menyebabkan doktor meminta saya ke bilik bersalin kira-kira 8.30 pagi,”
katanya.
Katanya, dalam keadaan panik, seorang doktor meminta pembedahan kecemasan segara dijalankan bagi menyelamatkan bayinya.
Menurutnya, kira-kira 10.05 pagi, bayi pertama yang masih hidup
dikeluarkan, namun seorang lagi sudah meninggal dunia ketika dikeluarkan
seminit kemudian.
“Bayi pertama berat 2.33 kilogram (kg) manakala yang kedua 2.07 kg.
Pada mulanya saya ingat bayi pertama yang dikeluarkan berjaya
diselamatkan, namun kira-kira 12 tengah hari, suami memberitahu bayi
kami itu juga sudah meninggal dunia,” katanya.
Bayinya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Melang selepas solat Asar.
Sementara itu, suami Sharifah Kalsum, Muhd Azmi Hashim, 30, berkata,
dia kecewa dengan sikap kakitangan hospital terbabit sehingga
menyebabkan nyawa anaknya tidak dapat diselamatkan.
Malah, katanya, dia juga kesal kerana pihak hospital belum menjelaskan punca kematian pasangan kembar itu.
“Saya hanya mahu tahu punca sebenar kematian bayi kembar saya. Itu
sahaja,” katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Melang.
Sinar Harian cuba menghubungi pihak hospital dan salah seorang
kakitangannya memberitahu, pihak hospital akan memberi maklum balas
berhubung kejadian itu dalam masa terdekat. - Sinar Harian
0 Comments
Ini adalah blog peribadi.Sebarang pendapat yang saya luahkan di sini adalah dari saya sendiri ,tidak melibatkan mana mana pihak kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya.Sebarang PRINT SCREEN terhadap blog ini adalah dilarang kecuali atas keizinan tuan punya blog. Tuan punya blog tidak teragak agak mengambil tindakan undang undang jika hak persendirian ini dicabuli.Terima Kasih juga kerana sudi tinggalkan komen di entri ini. Sila berikan komen yang berhemah. Sebagai penulis saya tidak bertanggungjawab terhadap setiap komen yang ditulis. Sebarang LINK AKTIF akan di buang secara automatik. Harap maklum.
Terima Kasih ..